KERANA ALAS MEJA DUA PELAJAR HILANG NYAWA

Keadaan dua motosikal terbabit selepas terlibat dalam kejadian kemalangan di Jalan Pekan, Bandar Tenggara.
< 1 / 2 >
KOTA TINGGI – Bukan satu tetapi dua. Itulah realiti terpaksa diterima seorang ibu apabila dua anaknya maut dalam kemalangan di Jalan Pekan, Bandar Tenggara, malam kelmarin.

Im Rohaini Muslim, 52, berkata, ketika kejadian, kedua anaknya dalam perjalanan ke kedai untuk membeli sampul meja yang diminta oleh guru Muhammad Bahtarim Ahmad, 7, atau lebih mesra dengan panggilan Jebat.

Menurut ibu kepada empat orang anak itu, anak keduanya, Muhammad Faiz Ahmad, 18, yang baharu mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah menawarkan diri untuk membawa adiknya, Jebat menaiki motosikal untuk ke kedai.

“Selesai solat Maghrib, mereka terus menaiki motosikal bapanya untuk ke kedai. Sepatutnya seorang lagi adiknya berusia 12 tahun mahu membonceng sama tetapi tidak jadi. Saya sempat berpesan kepada Faiz supaya tidak membawa motor laju-laju.

“Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam selepas mereka keluar, saya mendapat panggilan bahawa mereka terlibat kemalangan. Kami terus bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mereka sudah tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke klinik berhampiran,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), semalam.


Anak mimpi masuk kubur

Kata Im Rohaini, sebelum kejadian Faiz ada memberitahu, dia bermimpi masuk ke dalam kubur dan ditanya soalan tentang kematian.

"Ketika itu saya memberitahunya jangan terlalu memikirkan mimpi tersebut dan menyuruhnya banyak melakukan solat taubat serta jangan tinggal solat lima waktu.

“Faiz merupakan anak lelaki harapan, malah sebaik sahaja tamat sekolah dia terus bekerja dengan Southern Waste Management (SWM) di Larkin untuk membantu kami. Malah dia juga merancang untuk mengambil lesen motosikal pada Sabtu ini.

"Faiz juga berhasrat untuk menyambung pelajaran di Institut Kemahiran Mara namun tidak kesampaian," katanya.


Reda dengan ujian diterima

Tambah Im Rohaini, Muhammad Faiz merupakan anak yang baik dan sangat bertanggungjawab kepada adik-adiknya.

“Manakala Jebat pula anak bongsu dan seorang yang periang. Meskipun baru tahun satu, dia sangat berminat dengan ilmu agama. Malah pada hari kejadian, Jebat ada bertanya kepada saya sama ada boleh atau tidak masuk syurga jika jika kita berwirid.

“Sepanjang hari, saya mendengar dia berwirid termasuklah ketika dia keluar pada malam kejadian.

"Saya reda dengan ujian ini dan berharap agar mereka berdua ditempatkan di syurga,” katanya lagi.

Dalam pada itu, jenazah kedua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Pekan, pagi semalam.


Kemalangan ragut tiga nyawa termasuk pekerja ladang warga Indonesia

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, dua beradik berkenaan serta seorang pekerja ladang warga Indonesia, Munzir, 24, maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal.

Katanya, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku apabila Honda Wave yang ditunggang Muhammad Faiz dari arah Bandar Tenggara menghala ke Felda Pekan telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Suzuki RG yang ditunggang pekerja ladang terbabit.

"Munzir meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang dan pembonceng Honda Wave telah meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bandar Tenggara.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

0 Response to "KERANA ALAS MEJA DUA PELAJAR HILANG NYAWA"

Post a Comment