Rumah Terbuka Sempena Menyambut Zahid Hamidi Dilanda Ribut di Kelantan.





TANAH MERAH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memberi penjelasan terperinci berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion kepada anggota Umno dalam masa terdekat.



Naib Presiden Umno itu berkata, langkah itu bagi memastikan setiap anggota parti tidak terpengaruh dengan berita-berita yang tidak betul yang disalurkan melalui sosial media.


"Akar umbi (Umno) jika tidak diberi penjelasan akan terpengaruh dengan gelombang dan badai yang melanda media sosial yang mengambil alih komunikasi tanpa lisan yang berlaku sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
sambutan Aidilfitri dan mesyuarat Perwakilan Umnoo Bahagian Tanah Merah di sini, hari ini.


Beliau turut mendakwa terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang akan cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan fitnah di laman sosial.


"Dulu fitnah politik berlaku melalui surat layang, penerbitan buku-buku tetapi kini trend telah berubah di mana fitnah disebarkan secara 'on-line' dalam waktu yang singkat," katanya.


Ahmad Zahid berkata, oleh kerana agenda yang telah dirancang segelintir pihak tidak bertanggungjawab itu, fitnah yang disebarkan melalui laman sosial itu sukar dibendung kerana tiada pembentengan yang kukuh oleh Umno itu sendiri.
"Dalam hal ini, apa yang berlaku jangan dianggap krisis tetapi suatu kemelut yang datang dalam hayat politik, dan saya menyeru kepimpinan Umno di peringkat nasional, bahagian dan akar umbi untuk bersama dengan kepimpinan bagi menyelesaikan permasalahan yang sama-sama kita hadapi itu.


"Kita tahu bahawa siapa yang faham, siapa yang tidak faham, siapa yang memanipulasi isu berkenaan. Saya tidak berhajat untuk menuding jari kepada individu atau sesuatu kumpulan...bagi saya isu boleh diperjelaskan dengan secara telus," katanya.


Turut hadir Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Ab Aziz.


Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid mahu perpaduan dalam kalangan anggota Umno terus kukuh dan tidak dipecahkan dari dalam oleh "segelintir pihak yang tidak senang dengan saf kepimpinan semasa."
"Masalah pembangunan, infrastruktur kita boleh cari peruntukan, tetapi penyatuan pemikiran, hati nurani tiada harganya. Ia dapat digarap dan dipertingkatkan jika ada perpaduan dalam kalangan kita," katanya.



Pada majlis itu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada Kelab Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah serta RM50,000 kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Tanah Merah bagi membeli pakaian seragam baharu.
Selain itu, beliau turut menyerahkan pinjaman sebanyak RM3 juta kepada 252 usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).

Majlis sambutan Aidilfitri itu telah ditangguhkan selama sejam selepas hujan lebat dan ribut melanda jajahan ini bermula pukul 3.30 petang tadi. - Bernama










0 Response to "Rumah Terbuka Sempena Menyambut Zahid Hamidi Dilanda Ribut di Kelantan."

Post a Comment