Permintaan Seorang Anak Tidak Dihiraukan, Bapa Menyesal Seumur Hidup!



Pada malam itu saya benar-benar sibuk. Selepas solat Isyak dan menikmati hidangan, saya terus menuju ke meja kerja. Nak siapkan kertas kerja yang akan dibentangkan pada esok hari di mesyuarat 3 hari yang akan datang.

Ketika baru nak mula buat kerja, anak tunggal saya, Serena, 6, datang menghampiri dan membawa sebuah buku. Wajah tersengih-sengih manja, begitulah wajah dia jika ada sesuatu yang dimahukannya. Dia bersikap terlalu manja.

"Papa? Bacakan buku cerita ini, bagus tau! Cerita pari-pari, Ina nak dengar" omelnya sambil hulurkan buku bergambar itu kepada saya.

"Buku baru ke?? Saya bertanya berbasa basi tanpa sedikit pun menoleh pada Serena.

Serena mengangguk lantas memberitahu buku itu dibelinya pagi tadi.

"Papa tengah sibuk, lain kali boleh tak?", saya memujuk.

Terus Serena bermasam muka, memperjelaskan rasa kecewanya. Tetapi saya benar-benar sibuk.

"Bolehlah papa? Sekejap je. Cerita best." Serena masih merengek dan enggan mengalah.

"Kan papa kata papa sibuk. Suruh mama baca!"

"Mama basuh pinggan, alaa...! Bacalah papa!" Renggek Serena lagi sambil menghentak-hentak kaki ke lantai. Nyata dia tidak mahu mengalah.

"BUDAK NI! TAK RETI BAHASA KE?! PERGI SANA!!" jerkah saya.

Permata hati saya itu nampak panik dan terperanjat kerana tidak menyangka saya akan bertindak sejauh itu. Nampak jelas di matanya sedikit berkaca, lalu dia beredar dengan sayu.

Dalam nada yang sebak dengan muka yang sebek, Serena beredar sambil menoleh ke arah saya. Dalam suara tersekat,-sekat dia berkata,

"Nanti papa bacakan kuat-kuat cerita ini kat Ina ya papa!"

Saya hanya memandang tajam ke arahnya. Sebaik tiba di pintu bilik, dia menjeling saya. Kali ini saya mengangguk.

Masa terus berlalu, seminggu, dua minggu namun kesibukan kerja di pejabat semakin bertambah. Setiap kali pulang ke rumah, Serena tidak merengek minta dibacakan cerita pari-pari itu, namun tangannya tak lepas memegang buku itu. Mungkin juga dia faham saya terlalu sibuk.

Pada minggu berikutnya, sedang kami sekeluarga menikmati sarapan bersama, saya perhatikan buku itu masih dipegangnya.

"Mama dah baca, seronok papa," kata Serena.

Saya mengangguk sambil tersenyum.

"Bila papa nak bacakan?" tanya Serena.

"Mama dah bacakan, okaylah tu." balas saya.

Sekali lagi permata hati saya itu dikecewakan. Saya pula terus menyuap makanan.

"Mama baca perlahan, nanti papa bacakan kuat-kuat ye!" katan Serena.

Saya hanya mengangguk.

Selesai bersarapan, saya mencapai suratkhabar. Lembaran demi lembaran saya tatapi. Langsung tidak terfikir untuk menunaikan permintaan Serena.

Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat di luar. Konsentrasi saya terganggu seketika. Bunyi apakah itu?

Pintu pagar rumah digegar. Saya segera menjenguk. Jiran-jiran mengatakan Serena dilanggar kereta. Saya panik, sempat berfikir, bila pula Serena keluar? Tadi ada di dapur. Terus saya memanggil ibunya sebelum meluru keluar rumah.

Sungguh perkhabaran itu benar, Serena terkulai diriba seorang jiran yang sedang memberi bantuan. Saya terus pangku Serena masuk ke kereta jiran yang sedia memecut ke hospital.

Darah membasahi pakaian Serena. Nafasnya sesak. Isteri meraung sekuat hatinya.

"Ina?! Ina?! Inaaaa!!!!" saya memanggil-manggil perlahan namanya di pangkal telinga Serena yang berada di pangkuan.

Tatkala itu nafasnya tersekat-sekat.

"Papa? Mama? Ina takut. Ina sayang papa, Ina sayang mama. Ina tak nak mati!" katanya dalam antara dengar atau tidak sambil membuka matanya yang dipenuhi dengan darah. Saya kesat darah itu dengan tisu. Namun darah kembali memenuhi wajahnya. Tangisan kuat isteri saya membuatkan jiran yang memandu terus memecut.

Di hospital, Serena ditempatkan di bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) ekoran keadaannya yang kritikal.

Masuk hari yang kedua, keadaan Serena tidak banyak berubah. Dia masih tidak sedarkan diri dan terpaksa bernafas menggunakan respirator.

Di saat itulah saya rasa sangat bersalah. Lalu pada petang itu saya bacakan cerita pari-pari dalam suara yang kuat tetapi tersekat-sekat di sisi katil Serena. Semakin kuat saya baca, semakin merumbai air mata. Kekesalan berlabuh, tetapi segalanya telah musnah. Mungkin Serena tidak dapat mendengar jalan cerita yang sangat diminatinya itu.

Keesokan harinya, saya bacakan sekali lagi dalam nada suara yang kuat. Kemudian setiap hari saya bacakan cerita itu di telinga Serena. Sementara itu isteri saya tak henti-henti menangis. Dia mungkin terlalu marah dan kesal dengan tindakan saya terhadap Serena sejak seminggu yang lalu.

Masuk hari ketujuh, sebaik saya mula membaca, Serena tiba-tiba membuka matanya perlahan-lahan. Bacaan saya terhenti, air mata saya mengalir dan saya mengusap kepalanya. Namun beberapa tika kemudian, Serena memejam kembali matanya buat selama-lamanya.

Saya terdengar suara Serena mengucapkan terima kasih kerana membacakan cerita itu padanya.

"Papa? Nanti bacakan cerita ini kuat-kuat pada Ina ya?"

Kata-kata Serena masih lagi terngiang-ngiang di telinga sehingga ke hari ini. Walaupun sudah setahun berlalu, saya masih tertanya-tanya apakah sedikit perhatian yang diperlukan oleh seorang anak terlalu mahal untuk diberikan oleh seorang lelaki yang bergelar ayah? Saya tidak dapat menjawab selain dari air mata yang mengalir.

0 Response to "Permintaan Seorang Anak Tidak Dihiraukan, Bapa Menyesal Seumur Hidup!"

Post a Comment